PAGE-PAGE YANG ADA DI BLOK AKU SALINA :

Friday, September 23, 2011

Bantuan Pusat Majukan Pendidikan Orang Asli


KOTA BAHARU, 21 Ogos (Bernama) -- Usaha berterusan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JKOA) menitikberatkan pendidikan termasuk memberi tuisyen dan motivasi kepada masyarakat Orang Asli membantu golongan itu melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat tinggi.

Pengarah JKOA Kelantan/Terengganu Faridah Mat berkata terbaru, tujuh pelajar Orang Asli berjaya melanjutkan pelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan Institut Latihan Perindustrian (ILP).

"Melalui bantuan pendidikan termasuk peruntukan yang disalurkan Kerajaan Persekutuan, masyarakat Orang Asli juga mampu berjaya seperti masyarakat bandar," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Faridah berkata bagi tiga pelajar yang berjaya ke IPTA, seorang layak mengikuti pengajian A-Level bagi persediaan ke India, seorang akan mengikuti bidang biofizik di Universiti Putra Malaysia manakala seorang lagi mendalami bidang perkayuan di Universiti Malaysia Sarawak.

Setiap tahun, kerajaan pusat memperuntukkan RM200,000 bertujuan membangunkan pendidikan masyarakat Orang Asli di Gua Musang, Kelantan.

Bagi negeri Kelantan sahaja, RM1.2 juta diperuntukkan sepanjang tahun lalu untuk pembangunan pendidikan Orang Asli.

Melalui peruntukan itu, pelbagai program khusus untuk pelajar Orang Asli dilaksana dengan kerjasama Pejabat Pelajaran Daerah, termasuk tambang pengangkutan, yuran sekolah, alat tulis, keperluan diri sebagai persediaan ke asrama dan biasiswa.

Sumber : BERNAMA
Tarikh : 21 Ogos 2011

0 comments:

Post a Comment

Powered by Blogger.