PAGE-PAGE YANG ADA DI BLOK AKU SALINA :

Monday, January 11, 2010

We Care

Kerajaan Sedia Peruntukkan RM41.4 Juta Untuk Pembangunan Masyarakat Orang Asli

















SETELAH 55 tahun Jabatan Hal Ehwal Orang Asli ditubuhkan iaitu sejak tahun 1954, jabatan itu telah memainkan peranan besar dalam mengubah corak kehidupan serta cara berfikir masyarakat Orang Asli di negara ini.

Jika dulu, kehidupan masyarakat Orang Asli lebih kepada cara tradisi mereka dengan berpindah-randah dari satu tempat ke satu tempat yang lain tetapi hari ini mereka tinggal menetap di satu kawasan perumahan yang selesa serta dilengkapi dengan pelbagai kemudahan.

Malah, hampir semua ibu bapa masyarakat itu kini sudah mampu memikirkan mengenai kepentingan pendidikan, kesihatan atau mencari sumber pendapatan tetap sama seperti masyarakat lain yang tinggal di negara ini.

Namun kejayaan itu masih belum mencukupi buat JHEOA kerana mereka masih mempunyai misi besar untuk dilaksanakan demi kesejahteraan dan kemakmuran untuk semua masyarakat Orang Asli yang tinggal di negara ini iaitu dengan menjadikan masalah kemiskinan tegar di kalangan masyarakat itu sebagai ‘musuh’ yang perlu dihapuskan sama sekali.

Untuk itu, Ketua Pengarah JHEOA, Dato’ Hj. Mohd. Sani Mistam telah menetapkan tahun 2010 sebagai tahun penting kepada jabatan itu untuk melaksanakan semua program yang telah dirangka meliputi bidang ekonomi mahupun infrastruktur supaya hasrat untuk menghapuskan masalah kemiskinan tegar di kalangan masyarakat itu dapat dilakukan secara total.

“Sasaran utama kita pada Bajet 2010 ialah untuk membasmi kemiskinan tegar di kalangan masyarakat Orang Asli dengan merangka pelbagai program ekonomi serta infrastruktur supaya golongan itu dapat hidup dengan selesa selain meraih pendapatan melebihi paras kemiskinan tegar iaitu sebanyak RM430 sebulan pada penghujung 2010,” katanya.

Ketika ini, seramai 23,841 daripada 141,000 penduduk Orang Asli masih berada berpendapatan di bawah angka RM430 sebulan dan JHEOA telah merancang serta mengenal pasti projek-projek yang akan dilaksanakan meliputi penyediaan infrastruktur, ekonomi dan pembangunan sosial dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan yang lain bagi meningkatkan pendapatan golongan terbabit selain meningkatkan taraf kehidupan rakan mereka yang lain.

Bagi menjayakan hasrat itu, sebanyak RM41.4 juta telah diperuntukkan untuk pembangunan masyarakat Orang Asli secara keseluruhannya dan daripada jumlah itu sebanyak RM13.7 juta akan diagihkan untuk program ekonomi, RM12.67 juta untuk program penempatan rumah tersusun manakala RM14.95 juta lagi disalurkan untuk program pembangunan sosial.

Bagi program ekonomi katanya, pelbagai usaha untuk membangunkan tanah telah dijalankan terutama di Johor, Kelantan dan Perak terutamanya membabitkan projek pertanian yang diusahakan secara berkelompok meliputi tanaman seperti pisang, kacang, jagung, serai dan koko.

“Bagi pihak JHEOA, kita akan menyediakan bantuan meliputi penyaluran input pertanian, khidmat nasihat selain membuka ladang-ladang untuk tanaman tersebutsupaya dapat diusahakan oleh masyarakat Orang Asli.

“Program tanaman berkelompok ini dijalankan dengan kerjasama Jabatan Pertanian dengan tumpuan diberi kepada penduduk Orang Asli yang berada dibawah paras kemiskinan tegar,” katanya. Bagi menjayakan projek tanaman berkelompok itu, JHEOA telah memperuntukkan sebanyak RM2.1 juta untuk memastikan sebanyak 1,200 keluarga masyarakat terbabit mendapat manfaat daripada projek tersebut yang akan bermula pada 2010 sehingga 2012. Projek yang dirancang itu akan melibatkan tiga negeri utama iaitu Perak, Kelantan dan Pahang.

Melalui projek itu, setiap peserta yang terdiri daripada penduduk Orang Asli yang dikategorikan sebagai miskin tegar akan diberi bantuan khidmat nasihat pertanian serta input-input lain seperti benih, baja dan sebagainya supaya mereka yang tergolong sebagai miskin tegar itu dapat menjalankan aktiviti pertanian yang dirancang dengan sempurna. Antara kawasan yang terlibat dengan projek yang dijalankan dengan kerjasama Jabatan Pertanian itu ialah di Gua Musang bagi negeri kelantan melibatkan tanaman pisang, jagung, koko dan kacang manakala di Pahang ia akan dilaksanakan di Rompin iaitu di Kampung Tanah Runtuh dan Langkap Lama melibatkan tanaman pisang dan jagung.

Kawasan lain di Pahang ialah di Raub dan Kuala Lipis dengan tanaman pisang manakala sayur-sayuran di Cameron Highlands. Bagi negeri Perak pula ia melibatkan tanaman pisang dan jagung di Pos Yom, Pos Slim dan Pos Persih.Bantuan yang disediakan kepada semua peserta tanaman berkelompok itu bagaimanapun tidak hanya terhad kepada aspek khidmat nasihat serta input pertanian semata-mata, malah JHEOA juga turut bekerjasama dengan FAMA serta Lembaga Koko Malaysia bagi memastikan semua hasil tanaman yang diusahakan oleh peserta Orang Asli terbabit dapat dipasarkan dengan sempurna, sekali gus membantu menambah pendapatan mereka yang selama ini masih ada yang bergantung kepada hasil hutan.

Selain tanaman yang diusahakan secara berkelompok itu, JHEOA juga turut terlibat dengan aktiviti perladangan lain yang telah dan sedang dilaksanakan di semua penempatan Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) di selurun negara terutamanya melibatkan penanaman kelapa sawit serta getah dengan melibatkan kerjasama daripada pihak Risda serta Felcra yang mampu memberi pendapatan tetap kepada masyarakat Orang Asli yang yang menyertainya.Malah, bersesuaian dengan hala tuju JHEOA pada 2010 sendiri yang berusaha untuk meningkatkan penggunaan tanah di kalangan Orang Asli, banyak projek ekonomi yang berdaya maju seperti bidang ternakan turut diusahakan meliputi bidang ternakan seperti lembu dan kambing.

Terbaru, JHEOA kini gigih melaksanakan projek sarang burung walit untuk diusahakan oleh Orang Asli. Buat permulaan, projek itu sedang dilaksanakan di Rompin dengan penyediaan bangunan untuk burung berkenaan membuat sarang dengan modal antara RM250,00 hingga RM300,000 seunit. Sehingga kini, sebanyak 48 peratus daripada kira-kira 50,000 hektar tanah yang diwartakan untuk Orang asli telah dimajukan dan ia meliputi kawasan perumahan tersusun serta pembangunan ladang-ladang pertanian.“Ini adalah inisiatif kami di JHEOA untuk memastikan setiap Orang Asli dapat terlibat dalam pelbagai sektor yang mampu memberi pendapatan tambahan kepada mereka sekali gus bukan sahaja akan membawa mereka keluar daripada belenggu kemiskinan malah dapat bersaing dengan masyarakat lain di negara ini,” katanya. Selain bidang pertanian, JHEOA juga memberi tumpuan terhadap usaha meningkatkan taraf kehidupan masyarakat Orang Asli secara keseluruhannya untuk menyediakan penempatan tersusun serta melengkapkannya dengan pelbagai kemudahan dan sehingga kini sebanyak 14,000 buah rumah telah dibangunkan untuk masyarakat tersebut dan kira-kira 5,000 lagi akan dibangunkan pada 2010.

Kebanyakan rumah-rumah ini dibangunkan di 17 kawasan RPS serta kawasan-kawasan pembangunan lain yang dikhaskan untuk Orang Asli di seluruh negara yang membolehkan masyarakat itu tinggal menetap di satu-satu kawasan berbanding sebelum ini majoriti mereka hidup secara nomad iaitu berpindah-randah dari satu tempat ke satu tempat yang lain dengan aktiviti ekonominya 100 peratus bergantung kepada hasil hutan.Malah Bajet 2010 telah memperuntukan sebanyak RM12.67 juta untuk menyediakan perumahan yang teratur yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti jalan kampung, elektrik dan bekalan air bersih.Melalui program perumahan tersusun, prasarana itu telah dilaksanakan di beberapa negeri meliputi Pahang, Perak dan Negeri Sembilan melalui penyediaan rumah-rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang dilengkapi dengan kemudahan elektrik, jalan raya serta bekalan air bersih.

Antara kawasan yang terlibat dengan projek itu ketika ini ialah di Endau, Johor melibatkan pembangunan rumah sebanyak 100 unit. Selain itu, sebanyak 100 unit rumah juga sedang dibina sebagai kawasan penempatan semula Orang Asli di Batu Pahat dan ketika ini Kerja tanah untuk pembangunan itu kini sedang giat dijalankan dan ia dijangka siap pada akhir 2011.

Dalam bidang kesihatan dan perubatan pula, JHEOA turut memandang serius perkara itu dengan menyediakan pelbagai infrastruktur, kakitangan serta peralatan kesihatan terkini untuk memastikan masyarakat Orang Asli mendapat pemeriksaan perubatan yang sewajarnya.Terdapat beberapa jenis kemudahan kesihatan yang disediakan iaitu balai rawatan, pusat transit, klinik desa dan hospital dan ketika ini terdapat 53 buah balai rawatan di seluruh negara dengan 36,538 orang mendapat manfaat daripadanya, lima buah pusat transit yang telah memberi faedah kepada 11,875 pesakit manakala 3,000 orang di hospital iaitu di Gombak.

Selain itu, bakat usahawan yang terpendam dalam diri Orang Asli juga tidak dibiatrkan begitu sahaja kerana metreka turut dibantu menerima pelbagai kemudahan termasuk penyediaan ruang niaga, kursus keusahawanan, bantuan modal, bantuan peralatan, serta berpeluang menyertai ekspo-ekspo yang dijalankan oleh pihak JHEOA sendiri atau melalui kerjasama kementerian-kementerian lain yang diadakan sama ada di peringkat tempatan mahupun antarabangsa. Secara keseluruhannya, Mohd. Sani memberitahu, sumbangan terbesar JHEOA terhadap masyarakat Orang Asli ialah membangunkan minda mereka sehingga jurang perbezaan antara masyarakat tersebut dengan penduduk negara ini yang lain semakin mengecil sama ada melibatkan aspek pendidikan, kesihatan, infrastruktur serta pekerjaan.Malah, Dasar Tanah Negara yang diluluskan kerajaan pada 4 disember lalu juga bakal membolehkan Orang asli selepas ini akan memiliki tanah sendiri melalui pemberian geran di kawasan-kawasan yang dikhaskan kepada mereka.Melalui dasar itu kata Mohd. Sani, seramai 27,000 keluarga Orang Asli akan diberi tanah ladang antara dua hingga enam hektar selain suku hingga setengah hektar untuk rumah.
30/12/2009

Pesanan Ayah Rahsia 8A



JOHOR BAHRU: Pesanan ayah supaya mendengar kata guru menjadi rahsia kejayaan anak nelayan Orang Asli Suku Kuala, Mohammad Safwan Rajab dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Sardon, Batu Pahat, mendapat 8A dalam semua mata pelajaran dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

"Ayah, Rajab Yasin, 44, berpesan, jika mahu berjaya perlu dengar kata guru. Syukur, dengan bantuan guru mata pelajaran Matematik, Arba'in Sapuan dan guru kelas, Rohana Sabahi, saya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan ini," katanya yang bercita-cita menjadi polis.

Anak kedua daripada empat beradik itu berkata, beliau akan bertanya kepada guru serta rakan jika menghadapi kesukaran dalam pembelajaran di samping membuat formula sendiri mengingati apa yang dipelajari.

Mohammad Safwan berkata, beliau tidak mempunyai jadual pembelajaran sebaliknya mengulang kaji pada waktu petang selepas sekolah di perpustakaan selain mengikuti kelas tambahan sebelum pulang ke rumah.

Sementara itu, bapanya berkata, kadangkala beliau langsung tidak dapat membekalkan wang untuk anaknya berbelanja di sekolah, namun bersyukur anaknya tidak banyak kerenah, memahami dan menuruti kata beliau dan isteri.

"Saya berterima kasih kepada kerajaan yang menyalurkan bantuan kerana dengan pendapatan yang tidak seberapa, saya tidak mampu menyediakan kemudahan mencukupi buat anak saya belajar sehingga mencapai kecemerla-ngan," katanya.

29/12/2009

Pelbagai Bantuan Jamin Pendidikan



Tahukah Anda??? Pelbagai Bantuan Jamin Pendidikan

Menyedari kepentingan pendidikan untuk mengubah kehidupan satu-satu bangsa, Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) tidak ketinggalan menyumbang dan menabur khidmat bagi membolehkan masyarakat Orang Asli terutama kanak-kanak dan generasi muda mendapat pendidikan secukupnya.

Bermula dari peringkat bawah, konsep persekolahan K9 yang juga projek perintis Kementerian Pelajaran bermatlamat mengurangkan kadar keciciran dari Tahun Enam hingga Tingkatan Satu dan mengekalkan bilangan pelajar 3/5, mengurangkan kadar ketidakhadiran ke sekolah hingga ke sifar, menjadi model pusat kecemerlangan pendidikan Orang Asli dan mewujudkan kelas integrasi pendidikan.

Sekolah Kebangsaan Bandar Dua Paloh Hilai, Pekan, Pahang adalah sekolah tunggal bagi projek K9 dengan 269 pelajar peringkat pra dan rendah. Dari jumlah ini, murid Orang Asli seramai 112 orang. Di peringkat sekolah menengah pula, 152 daripada 339 pelajar adalah pelajar Orang Asli.

Dalam perkembangan sama, status pendidikan pelajar Orang Asli di peringkat rendah amat memberangsangkan dengan hanya kurang dua peratus kadar keciciran pada 2008 berbanding 4.66 peratus pada tahun sebelum itu.

Bagaimanapun, keciciran di peringkat sekolah menengah amat membimbangkan iaitu 47.41 peratus berbanding 36.7 peratus pada 2007.

Justeru, untuk mengatasi peningkatan kadar keciciran pelajar Orang Asli di peringkat sekolah menengah, JHEOA menyediakan peruntukan khas sebanyak RM1.9 juta bagi kegunaan wang saku pelajar sekolah menengah yang hadir ke sekolah. Wang saku itu dibayar sebanyak RM2 kepada seorang pelajar sehari sepanjang 220 hari persekolahan mengikut kehadiran mereka.

Di samping itu, sebanyak RM15 juta dibelanjakan menerusi Skim Bantuan Galakan Pendidikan JHEOA untuk menyediakan bantuan bagi murid di sekolah rendah dan menengah seperti pengangkutan, yuran sekolah, kursus motivasi dan keperluan diri di asrama.

Selain itu, Kementerian Pelajaran turut menyalurkan bantuan menerusi bantuan amanah pelajar.

Bantuan ini termasuk bantuan persekolahan RM200 bagi pakaian seragam, yuran persekolahan, peralatan sekolah dan sebagainya. Selain itu, RM50 bagi bantuan am diberi setiap bulan selama 10 bulan dan diagihkan sebanyak dua kali setahun.

Peningkatan kesedaran mengenai pendidikan di kalangan masyarakat Orang Asli bukan hanya di peringkat bawah saja, malah di di peringkat pengajian tinggi dengan 318 pelajar Orang Asli berjaya menamatkan pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) antara tahun 2004 hingga 2009.

Skim bantuan galakan pendidikan JHEOA juga diperluaskan kepada pelajar di peringkat IPTA. Keistimewaan pelajar Orang Asli yang menuntut di IPTA ialah mendapat biasiswa secara automatik, bagaimanapun jabatan hanya memberikannya kepada pelajar Orang Asli yang menuntut di institusi pengajian tinggi awam dalam negara saja.

Mulai April lalu, JHEOA turut menaikkan kadar biasiswa pelajar Orang Asli di peringkat IPTA sebanyak 30 peratus. Sejumlah RM2.5 juta diperuntukkan bagi membiayai pengajian pelajar Orang Asli di IPTA pada tahun ini berbanding RM1.3 juta pada tahun lalu.

29/12/2009

Powered by Blogger.