JEMPOL 29 April - Kepenatan melalui lorong becak dan semak samun kebun getah untuk ke kampung pedalaman Orang Asli di Kampung Peti di sini bagaikan terubat dengan keletah sekumpulan anak-anak kecil yang mesra dan ramah ini.
Sapaan manja dengan senyuman lebar mereka turut membayangkan kegembiraan ketika menerima tetamu dari luar tanpa sebarang rasa segan mahupun malu.
Mereka adalah murid-murid tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) iaitu satu-satunya tadika yang beroperasi di kawasan tersebut.
Suasana ini tentunya cukup berbeza dengan persepsi mengatakan bahawa anak-anak Orang Asli sering menjauhkan diri apabila ternampak orang asing malah akan lari lintang pukang.
Sesuatu yang pasti, usaha kerajaan memberi pendidikan sempurna kepada penduduk pribumi termasuk di peringkat prasekolah banyak mengubah nasib mereka.
Secara tidak langsung, tabika Kemas yang beroperasi sejak 2004 itu memberi harapan baru kepada anak-anak kecil tersebut.
Tabika Kemas yang mempunyai sebuah kelas itu kini memuatkan lebih 13 murid dari beberapa perkampungan Orang Asli berdekatan.
Walaupun kecil dan serba kekurangan dari segi kemudahan, ia dilihat sebagai tempat permulaan terbaik bagi anak-anak Orang Asli mendapat pendidikan awal.
Menurut tenaga pengajar di situ, Noriah Susut, 46, kesedaran ibu bapa Orang Asli di sekitar perkampungan itu mengenai kepentingan pendidikan semakin baik.
"Zaman sekarang tidak sama seperti dulu kerana masyarakat Orang Asli kini juga mendambakan kemodenan dan menyedari pendidikan sangat penting malah penentu masa depan mereka.
"Begitu juga walaupun anak-anak ini berbeza pegangan agama namun ia tidak pernah membawa masalah kepada perhubungan mereka," katanya.
Tambahnya, kanak-kanak Orang Asli tersebut digalakkan ke tadika apabila sudah mencapai usia empat hingga enam tahun.
"Murid di sini bukan sahaja datang dari kampung ini tetapi juga dari kampung berdekatan. Walaupun terpaksa melalui perjalanan yang jauh dan sukar namun semangat ibu bapa mereka untuk menghantar anak ke tadika harus dipuji," katanya lagi.
Katanya lagi, seperti kebanyakan tadika lain, kelas tabika Kemas ini bermula pada pukul 8 pagi hingga 12 tengah hari.
"Di sini ada pembantu dapur yang akan membantu menyiapkan makanan untuk anak-anak ini," katanya.
Di sebalik itu, kata Noriah, cabaran mengajar di perkampungan tersebut tetap ada terutama dalam mendapat sepenuhnya penerimaan ibu bapa.
"Sebagai pengajar kita berharap lebih ramai ibu bapa akan menghantar anak-anak mereka kerana anak-anak Orang Asli juga mempunyai potensi seperti orang lain.
"Perkara ini mungkin mengambil masa," katanya.
Dalam pada itu, menurut ibu kepada salah seorang murid di tabika Kemas itu, Zairah Seman, 23, dia amat bersyukur dengan pembinaan tadika tersebut.
"Tanpa tadika di kawasan ini, mustahil anak saya dapat menimba ilmu. Walaupun mempunyai motosikal namun saya tidak berdaya untuk menghantarnya ke tadika yang berada di pekan," katanya yang mempunyai dua orang anak berusia tiga tahun dan lima tahun bersekolah di sini.
Katanya, walaupun dengan keadaan serba sederhana di tadika itu, ibu bapa Orang Asli sepertinya juga semakin mementingkan ilmu dan melihat tadika cukup penting.
"Walaupun tadika di bandar kini mempunyai kemudahan belajar menggunakan komputer namun kami tetap bersyukur kerana anak kami mempunyai tempat untuk menuntut ilmu.
"Kami yakin suatu masa anak kami juga akan berpeluang untuk memegang komputer," katanya.
Sementara itu, bagi Erika Rahim, 6, dari Kampung Batu Peti, dia cukup gembira apabila diberi peluang untuk belajar di tadika tersebut.
"Di sini ramai kawan-kawan dan boleh belajar. Biasanya saya ke sekolah menaiki motosikal dan dihantar oleh kakak," ujarnya yang bercita-cita menjadi seorang guru.
0 comments:
Post a Comment