PAGE-PAGE YANG ADA DI BLOK AKU SALINA :

Monday, May 24, 2010

Kerajaan jamin agihan tanah Orang Asli adil

TEMERLOH 23 Mei - Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) memberi jaminan masyarakat Orang Asli akan mendapat agihan tanah secara adil menerusi Dasar Pemberimilikan dan Pembangunan Tanah Orang Asli.

Menterinya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, segala pandangan masyarakat Orang Asli berhubung dasar itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tanah Negara dan kerajaan negeri sebelum dibentang di Parlimen.

''Kita perlu membincangkan secara terperinci jumlah keluasan tanah milik Orang Asli dan mungkin dengan penyelarasan itu, keluasan tanah mereka akan mengecil sedikit," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat berkelompok cawangan-cawangan UMNO dalam Bahagian Temerloh di Dewan UMNO bahagian itu di Mentakab, dekat sini hari ini.

Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Temerloh, Datuk Mohd. Sharkar Shamsuddin.

Beliau mengulas tindakan sekumpulan masyarakat Orang Asli dikenali sebagai Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung yang menghantar memorandum bantahan terhadap Dasar Pemberimilikan dan Pembangunan Tanah Orang Asli di pejabatnya, baru-baru ini.

Menerusi dasar itu, kerajaan memperuntukkan kawasan seluas 2.4 hektar tanah untuk aktiviti penanaman, manakala 0.1 hektar bagi tujuan kediaman yang menyebabkan timbulnya reaksi berbeza di kalangan Orang Asli.

Mengulas lanjut, Mohd. Shafie menjelaskan, kerajaan sentiasa prihatin keperluan masyarakat Orang Asli tetapi tidak semua keperluan mereka dapat dipenuhi.

Sebaliknya, tegas beliau, masyarakat Orang Asli perlu melihat lebih jauh dengan merebut peluang ekonomi di luar kawasan perkampungan mereka.

"Mereka seperti juga golongan bumiputera lain, berhak mendapatkan tanah di tempat-tempat lain yang bukan di penempatan mereka sahaja," jelasnya.

0 comments:

Post a Comment

Powered by Blogger.