PAGE-PAGE YANG ADA DI BLOK AKU SALINA :

Wednesday, December 29, 2010

JHEOA Teruskan Program Motivasi Tingkat Kecemerlangan Atasi Keciciran

KEJAYAAN menurunkan kadar keciciran dalam kalangan anak Orang Asli perlu dipertingkatkan supaya masyarakat itu terus berdaya saing seiring kaum lain. Menyedari hakikat itu, Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA), meneruskan program berbentuk motivasi bagi menggalakkan golongan itu meneruskan perjuangan hingga sekolah menengah seterusnya ke menara gading. Ketua Pengarah JHEOA, Dato’ Hj. Mohd Sani Mistam, berkata pihaknya menyasarkan menurunkan kadar berkenaan secara berperingkat.

Beliau berkata, tahun depan pihaknya yakin kadar itu terus turun kepada 26 peratus selepas menurunkan empat peratus tahun ini berbanding 32 peratus tahun lalu. Bagi mencapai hasrat itu, katanya, pelajar Orang Asli perlu diberi bimbingan supaya dapat menyesuaikan diri dengan kehidupan asrama ketika di sekolah menengah. “Selain JHEOA, agensi kerajaan, badan bukan kerajaan, sekolah dan guru serta ketua masyarakat mesti menyokong agenda pembangunan supaya mereka sedar pentingnya pendidikan. “Kami bangga kerana ramai anak Orang Asli kini sudah berjaya. Tahun ini saja, seramai 210 pelajar lulusan Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia 2009 berjaya melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi. “Diharapkan kejayaan ini menjadi penanda aras kepada pencapaian masyarakat berkenaan untuk terus maju,” katanya selepas merasmikan dan menutup Program Mesra Didik Pelajar Orang Asli di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), di Kuala Kubu Baru, baru-baru ini. Seramai 450 murid Orang Asli dari lapan negeri menyertai program lima hari empat malam yang dikendalikan fasilitator Institut Integriti Malaysia. Turut serta 81 pelajar Tingkatan Tiga dan Empat MRSM Kuala Kubu Baru, Selangor dan MRSM FELDA Trolak, Perak. Mohd Sani berkata, program masuk tahun kedua itu diharap memberi kesan positif kepada golongan sasar terutama lepasan sekolah rendah untuk meneruskan persekolahan masing-masing. Katanya, pihaknya mendapat kerjasama Kementerian Pelajaran untuk menyiapkan lebih banyak asrama di sekolah menengah. Dua lagi Sekolah Model Khas (Darjah Satu hingga Tingkatan Tiga), akan dibina di Hulu Perak dan Lipis, Pahang. Sementara itu, peserta yang ditemui menyatakan rasa bangga mereka kerana berpeluang menyertai program berkenaan. Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Batu 14, Perak, Joyerish, 12, berkata peserta didedahkan dengan pelbagai aktiviti yang dapat memupuk semangat kerjasama dalam kalangan mereka. “Saya akan berusaha belajar bersungguh-sungguh bagi menjadi insan berjaya supaya dapat membantu ibu bapa dan masyarakat,” katanya. Juliana Aliza Ismail, 12, pelajar SK Tasik Chini, Pekan, Pahang berkata, dia gembira kerana terpilih menyertai program itu walaupun diarahkan berbuat demikian oleh Tok Batin kampung. Anak keenam daripada tujuh beradik itu kini mampu berpandangan lebih jauh dan yakin berhadapan dengan masyarakat. Katanya, dia terus berazam berazam untuk belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai impian melanjutkan pelajaran ke Universiti Sains Malaysia. Fasilitator MRSM Felda Trolak, Jumani Izaan Johari, 15, berkata program seperti itu perlu kerap dianjurkan supaya peserta mendapat pendedahan mengenai pentingnya pelajaran dalam usaha mengubah status kehidupan. “Walaupun saya menghadapi kesukaran berkomunikasi, namun selepas lima di sini, tahap keyakinan diri meningkat,” katanya. Rakannya dari MRSM Kuala Kubu Baru, Muhammad Fakhrurrazi Ahmad, 16, program itu memupuk semangatnya untuk terus gigih dalam pelajaran. Katanya, galakan serta bimbingan berterusan menyuntik semangatnya mengubah mentaliti untuk menjadi yang lebih baik dan berjaya dalam hidup.

0 comments:

Post a Comment

Powered by Blogger.