PAGE-PAGE YANG ADA DI BLOK AKU SALINA :

Wednesday, December 29, 2010

Durian Runtuh - Peserta Ladang Dapat Bonus RM2,000

24 Disember 2010

TEMERLOH: Seramai 6,001 Orang Asli yang terbabit dengan projek Tanam Semula Berkelompok (TSK) di negara ini mendapat durian runtuh apabila menerima bonus dan dividen berjumlah RM47.8 juta.

Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA), YH Dato’ Haji Mohd Sani Mistam, berkata bonus dan dividen sudah dibayar melalui akaun bank setiap peserta mulai Oktober lalu dengan masing-masing menerima bonus RM2,000, manakala dividen pula antara RM400 hingga RM1,000 mengikut kadar pengeluaran hasil ladang mereka. Beliau berkata, pembayaran bonus dan dividen itu berikutan keuntungan diterima JHEOA melalui 125 projek TSK yang diusahakan bersama RISDA dan FELCRA membabitkan kawasan seluas 16,510.13 hektar dengan tanaman getah dan kelapa sawit.

“Kita juga berhasrat membuka lebih banyak tanah TSK dengan tanaman komoditi seperti getah dan kelapa sawit untuk diagihkan kepada Orang Asli dalam usaha meningkatkan taraf hidup mereka.

“Ini antara cara terbaik untuk membantu mereka mengubah kehidupan supaya tidak hanya bergantung kepada pekerjaan tradisional mencari hasil hutan,” katanya.

Mohammad Sani berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penyampaian Bonus Tahunan Peserta TSK daerah Maran, Temerloh, Jerantut dan Bera di Dewan Majlis Perbandaran Temerloh, dekat sini.

Turut hadir Pengarah JHEOA Pahang, Isa Abdul Hamid dan Ahli Dewan Negara, Senator Muhammad Olian Abdullah.

Pada majlis itu, seramai 779 Orang Asli dari empat daerah berkenaan membabitkan 12 kampung termasuk Kampung Ulu Jemol, Paya Taman, Merbau, Embus, Paya Besar, Sungai Leleh, Paya Mengkuang, Paya Sendayan, Pasu, Bongkok, Sungai Tuang dan Sungai Bangkong menerima bonus dan dividen berjumlah RM1.991 juta.

Dato’ Haji Mohd Sani berkata, pihaknya juga sedang merancang kaedah berkesan, termasuk menggalakkan Orang Asli menubuhkan koperasi untuk menguruskan ladang mereka bagi meningkatkan lagi pengeluaran dan produktiviti, sekali gus meraih keuntungan lebih besar dan merancakkan pertumbuhan ekonomi masyarakat itu.

0 comments:

Post a Comment

Powered by Blogger.