RAUT wajahnya persis anak muda Melayu, kemas dan segak berpakaian sut gelap. Tangannya menggenggam BlackBerry. Tutur katanya penuh sopan dan berkeyakinan. Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dan kini menyandang jawatan Penolong Pengarah Kanan di Unit Pelaksanaan Projek Persekutuan Pahang, Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS). Ogos lepas, beliau dinobatkan sebagai Ikon Orang Asli 2009, anugerah yang julung kali diwujudkan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli Malaysia (JHEOA) sempena Karnival Keusahawanan dan Kebudayaan Orang Asli. Kesempitan hidup Lebih 30 tahun lalu, anak muda ini, Mahat a/l Mat Dong membesar dalam serba-serbi kekurangan di Kampung Bukit Bangkong, sebuah perkampungan Orang Asli suku kaum Jakun di Sungai Lembing, Pahang. Kampung yang dikelilingi hutan itu tidak ada sebarang bentuk pembangunan termasuk bekalan elektrik dan air serta jalan tar berbanding hari ini. Bapanya tidak mempunyai pekerjaan tetap, hanya membuat kerja kampung, menebang balak, mencari rotan di hutan serta membuat kerja kontrak untuk kelangsungan hidup keluarganya. "Di rumah, barang-barang seperti beras, gula, garam memang selalu tak ada. Pernah satu ketika ada hanya segenggam beras, nak makan satu keluarga sembilan orang memang tak cukup. "Dengan segenggam beras itu emak buat bubur, masukkan pucuk paku dan ikan nak jadikan banyak. Selalu juga kami makan nasi dengan garam, air suam, kami jadikan kuah. "Kalau ada rezeki memancing, dapatlah ikan pepuyu atau ikan haruan. Inilah sumber protein saya semasa kecil," cerita Mahat, anak sulung daripada tujuh beradik mengimbau kisah silamnya. Kuatkan azam Zaman persekolahan Mahat dilakari pelbagai cerita pahit terutama diejek budak-budak sekolah yang lain. Semuanya kerana pakaian dan kasutnya yang kotor. Menurut Mahat, pakaian dan kasutnya kotor bukan kerana tidak cuci tetapi kerana dia terpaksa berjalan dan melalui jalan tanah merah untuk sampai ke jalan besar dan mengambil bas ke sekolah. Pondok kayu yang kecil yang menjadi kediaman keluarganya terletak kira-kira empat kilometer dari jalan besar. Untuk ke sekolah, beliau perlu keluar seawal 5.30 pagi, dan jika berjalan kaki hingga ke jalan besar, bukan sahaja kasutnya menjadi merah, pakaiannya juga akan kotor. "Kotor-kotor pun pergi juga ke sekolah. Selalu sangat kena ejek tetapi itu semua sebenarnya menguatkan semangat," kata Mahat yang semasa kecil bercita-cita menjadi guru. Pembakar semangat Menurut beliau, meskipun bagi sesetengah orang, ejekan menjadi 'pematah semangat' tetapi bagi dirinya ia sebenarnya 'pembakar semangat'. "Saya kuatkan azam untuk terus bersekolah sebab keluarga saya susah. Kalau saya tak belajar, saya pun mungkin jadi macam ayah saya, tanpa pendidikan tetap, tanpa pekerjaan tetap. Saya tak akan dapat merubah keadaan kehidupan keluarga saya," demikian kata Mahat. Bapa Mahat, Mat Dom Batin Dagang hanya bersekolah sehingga darjah dua sahaja dan ibunya, Lee Dee tidak pernah bersekolah. Namun kata Mahat, ibunya boleh membaca berkat ketekunannya belajar di sekolah dewasa. Meskipun tidak berpelajaran tinggi, keadaan ini bagaimanapun tidak menghalang pasangan ini untuk memberi galakan kepada Mahat dan adik-adiknya yang lain supaya rajin bersekolah. "Emak dan ayah bagi dorongan kuat untuk saya belajar. Semasa kecil tak ada elektrik, belajar guna pelita minyak tanah. Rumah sempit, di situ makan, di situ tidur dan di situ juga tempat belajar. Susah betul hidup masa kecil," katanya. Mahat berkata ibu dan bapanya selalu berpesan, "belajarlah rajin-rajin, jangan jadi macam emak dan ayah. Kalau emak dan ayah dah susah takkan kau nak susah juga. "Dalam kelas bila belajar saya selalu ingat pesanan emak dan ayah. Saya sedih kalau teringatkan kata-kata mereka. Saya sudah nampak emak dan ayah susah, tak ada pendidikan, ayah tak ada pekerjaan tetap," katanya. Cabaran belajar Situasi persekolahan menengah tidak banyak bezanya bagi Mahat. Ejekan masih ada meskipun tidak seteruk sekolah rendah. Beliau bersekolah di Sekolah Menengah Tengku Abdullah, Pekan dari tingkatan satu hingga lima dan sepanjang tempoh persekolahan itu, beliau tinggal di asrama. Menurut Mahat, beliau konsisten belajar semasa di sekolah menengah dan sering berada dalam senarai sepuluh pelajar terbaik, satu-satunya anak Orang Asli dalam kedudukan itu. Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi Mahat. Untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), beliau hanya mendapat gred dua. "Walaupun keputusan SPM tidak bagus, ini tidak bermakna saya sudah gagal dalam hidup. Saya berfikir bagaimana cara saya untuk melanjutkan pelajaran dengan keputusan yang saya perolehi," katanya. Mahat kemudian pergi ke JHEOA untuk bertanya peluang melanjutkan pelajaran. Seorang petugas di jabatan itu memberikannya borang permohonan ke Politeknik dan Institut Kemahiran Mara (IKM). "Rezeki saya dengan politeknik. Saya diterima masuk ke Politeknik Kota Bharu pada Jun 1995 dalam bidang kejuruteraan automotif mekanikal. "Semasa menerima berita itu, saya terfikir juga yang Kelantan itu jauh dan macam mana saya nak pergi kerana tak ada wang untuk beli pakaian serta beg dan perlu juga ada duit poket sebelum dapat biasiswa. "Saya ikut ayah masuk ke hutan cari rotan dan dari jualan rotanlah saya mempunyai wang untuk beli keperluan ke politeknik. Hidup selepas itu tak susah sebab dapat biasiswa, cukup untuk bayar sewa rumah, makan dan minum serta beli peralatan belajar," kata Mahat sambil menambah, ketika itu hanya beliau satu-satunya anak Orang Asli yang belajar di Politeknik berkenaan. Keadaan berbeza Berbanding zaman persekolahan rendah dan menengah, keadaan belajar di politeknik amat jauh berbeza. "Di politeknik saya mula dengan sijil sahaja sebab saya gagal Bahasa Inggeris dalam SPM. Lepas sijil saya mesti kerja dulu selama enam bulan untuk sambung ke peringkat diploma di Politeknik yang sama," cerita Mahat. Beliau tamat belajar peringkat Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Automotif) pada Disember 1998. Keinginannya menyandang jawatan yang lebih tinggi mendorong anak muda ini menyambung pelajaran di Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal dan akhirnya menggenggam segulung ijazah pada Oktober 2003. Tidak lupa keluarga Tidak seperti Kisah Si Tanggang, Mahat tidak pernah melupakan jasa ibu dan bapanya serta nasib adik-adiknya mahupun asal usulnya. Semasa beliau bekerja selepas tamat Politeknik peringkat Sijil lagi, beliau sudah mengirim wang kepada keluarganya di kampung. "Saya jenis pentingkan keluarga. Walaupun kawan-kawan sibuk membeli handphone dan motosikal, dapat sahaja gaji pertama saya hantar wang untuk emak dan ayah. Hampir separuh daripada gaji RM1,500 saya kirim untuk emak dan ayah," katanya. Beliau juga memotivasikan dirinya untuk meneruskan pengajian sehingga ke peringkat Ijazah ketika bekerja sebagai penolong jurutera dengan syarikat Jepun di Batu Pahat. Setelah bekerja beberapa tahun dengan pihak swasta, Mahat membuat keputusan untuk menyertai perkhidmatan kerajaan. Pada Februari 2004, beliau berkhidmat sebagai Jurutera Mekanikal, Bahagian Perkhidmatan Mekanikal dan Elektrikal, JPS Terengganu. Pada Disember 2005, beliau bertukar ke JPS Pahang sebelum dipindahkan ke Bahagian Hidrologi dan Sumber Air, JPS ibu pejabat di Kuala Lumpur. Meskipun dinaikkan pangkat kepada Penolong Pengarah Kanan, beliau memohon balik ke Pahang apabila penubuhan Unit Pelaksanaan Projek Persekutuan Pahang diluluskan. "Ramai juga terkejut apabila saya minta balik ke Pahang. Saya beritahu mereka saya mahu membantu masyarakat kaum saya," katanya. Perlu motivasi Di tengah-tengah kesibukan tugas yang disandang sekarang, Mahat gigih mengendalikan program motivasi khusus untuk pelajar Orang Asli. "Disebabkan saya berasal dari keluarga susah, saya sering memikirkan nasib masyarakat saya. Meskipun kerajaan banyak membantu masyarakat Orang Asli tetapi tidak ramai yang berjaya. "Pada saya yang kurang ialah motivasi. Daripada motivasi, kita boleh beri kesedaran dan tekankan pentingnya pendidikan," kata. Menurut Mahat, dia juga menyakinkan pelajar-pelajar Orang Asli supaya jangan lemah semangat meskipun menjadi bahan ejekan pelajar lain. Dalam masa yang sama, Mahat berharap lebih ramai anak Orang Asli yang berjaya akan tampil untuk menolong masyarakat mereka di kampung dan tidak melupakan asal usul mereka. -- BERNAMAUtusan
Mahat ikon Orang Asli
Duit Biasiswa Dah Masuk !!!
14 years ago
2 comments:
Tahniah!!!nice blog...very useful especially student mcm saya...mcamna nk contact Salina?
thanks (",) kalau nak contact sy lih add sy kat fb selly.sweets@yahoo.com
Post a Comment