Berita Harian
Ke arah negara maju
Oleh Kamarulzaidi Kamiskamarulzaidi@bharian.com.my
2010/06/11
RMKe-10 realisasi transformasi negara: Najib
KUALA LUMPUR: Sebanyak RM230 bilion diperuntukkan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10) bermula tahun depan hingga 2015 - satu tempoh yang disifatkan Datuk Seri Najib Razak sebagai amat kritikal bagi meneruskan kesinambungan prakarsa nasional ke arah merealisasikan Wawasan 2020 menjadi sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi.
Bertemakan Rancangan Kemakmuran Ekonomi dan Keadilan Sosial, Perdana Menteri berkata, RMKe-10 akan memberi tumpuan terhadap program kemahiran dan aktiviti penyelidikan dan pembangunan serta modal teroka untuk memupuk tahap inovasi negara yang lebih memberangsangkan.
Sehubungan itu, RM92 bilion atau 40 peratus daripada peruntukan RMKe-10 disalurkan bagi infrastruktur bukan fizikal, meningkat hampir sekali ganda berbanding 21.8 peratus dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9).
Dari segi sektor pula, 55 peratus diperuntukkan untuk sektor ekonomi, sosial (30 peratus), keselamatan (10 peratus) dan pentadbiran am (lima peratus).
Membentangkan RMKe-10 di Dewan Rakyat, semalam, Najib berkata, rancangan lima tahun kali ini dirangka dengan pelbagai pendekatan baru dalam perjalanan menuju ekonomi berpendapatan dan berproduktiviti tinggi sesuai dengan Model Baru Ekonomi (MBE) yang diperkenalkan, 30 Mac lalu.
“Untuk berjaya, rakyat perlu berani berfikir di luar dari kotak pena’kulan lazim. Sehubungan itu, sekalipun kerajaan menjadikan detik lalu sebagai panduan dan sempadan, kita tidak boleh terperangkap dengan ‘sindrom penjara sejarah’ supaya tidak menyebabkan berlakunya paralisis dari segi tindakan yang dirancang dan ingin dilaksanakan.
“Suka atau tidak, negara kini berada di persimpangan antara masa depan yang gemilang atau masa depan yang suram. Pilihan kini terletak di tangan setiap rakyat Malaysia. Hari ini ibarat kita berada pada pusingan akhir lumba larian berganti-ganti dengan baton sudah berada di tangan, hanya menanti tekad untuk menggapai kejuaraan,” katanya sambil menegaskan agenda pembangunan Bumiputera juga akan terus diberi penekanan selaras konsep pertumbuhan dengan pengagihan.
Perdana Menteri berkata, menerusi RMKe-10 yang menggariskan lima teras strategik, kerajaan menyasar untuk meningkatkan pendapatan negara kasar per kapita kepada RM38,850 atau AS$12,140 bagi setiap isi rumah pada 2015 dan ini memerlukan pertumbuhan purata ekonomi pada kadar enam peratus setahun.
Pelaburan swasta pula disasar berkembang pada kadar 12.8 peratus atau RM115 bilion setahun, manakala defisit fiskal dikurangkan daripada 5.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini kepada kurang daripada tiga peratus pada 2015.
“Selain itu, kerajaan akan berusaha tanpa jemu memastikan bahawa taraf serta kualiti hidup rakyat bertambah baik, terutama bagi golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah,” katanya.
Najib menjelaskan sasaran pertumbuhan enam peratus setahun akan diterajui oleh sektor perkhidmatan dan pembuatan, di samping menggiatkan semula sektor pertanian yang bernilai tambah tinggi serta penyerapan kaedah ICT, bioteknologi serta pelantar teknologi yang berkaitan.
Bagi peruntukan pembangunan pula, Perdana Menteri berkata, pelaksanaan program dan projek secara rolling plan akan diperkenalkan dalam RMKe-10.
“Melalui pendekatan ini, peruntukan peruntukan program dan projek pembangunan akan dibuat untuk setiap dua tahun bermula 2011-2012. Pendekatan ini membolehkan komitmen dibuat berdasarkan keupayaan kewangan semasa kerajaan dan memberi fleksibiliti kepada kerajaan untuk mengambil kira keutamaan baru sesuai dengan perubahan persekitaran ekonomi domestik atau global,” katanya.
Beliau berkata, senarai terperinci program bagi rolling plan pertama akan dikeluarkan pada akhir Ogos ini.
Dalam ucapan satu jam 40 minit, Perdana Menteri turut mengajak rakyat tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik bersama-sama kerajaan mencipta sebuah Malaysia yang lebih baik dengan semuanya mempunyai rasa kepunyaan dan semua bakat dihargai serta digunakan sebaik-baiknya.
Dengan merujuk semangat Piala Dunia yang bermula hari ini, Najib yang diketahui sebagai penyokong Manchester United, berkata kejayaan untuk merealisasikan sebuah negara maju dengan rakyat berpendapatan tinggi boleh diibarat seperti sebuah pasukan bola sepak yang berjaya.
“Bagi sebuah pasukan bola, untuk berjaya, semua pemain tanpa mengira posisi perlu bekerjasama serta bermain sebagai satu pasukan. Bagaimana hebat pun pemain secara individu, namun mereka hanya akan menggondol kemenangan sebenar secara berpasukan,” katanya.
“Maka yang demikian, untuk berjaya, kita perlu bekerja sebagai pasukan 1Malaysia yang seia, sekata, sebaris, sederap dengan satu wawasan, satu matlamat dengan satu citra, mempersembahkan yang terbaik kepada Malaysia dengan segala kudrat yang termampu,” katanya.
0 comments:
Post a Comment