PAGE-PAGE YANG ADA DI BLOK AKU SALINA :

Thursday, June 17, 2010

Kerajaan tumpu tingkat kualiti hidup Bumiputera

Berita Harian

Kerajaan tumpu tingkat kualiti hidup Bumiputera


2010/06/11

3 pendekatan jana pendapatan, penuhi keperluan kemudahan asas


KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi fokus kepada usaha meningkatkan pendapatan dan kualiti hidup kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah, dengan Bumiputera mewakili 73 peratus daripada 2.4 juta isi rumah terbabit.

Pendapatan purata kumpulan itu yang sebanyak RM1,440 sebulan pada 2009 akan ditingkatkan kepada RM2,300 sebulan pada 2015. Selain pertambahan pendapatan dari aspek ekonomi, peningkatan kualiti hidup ini juga merangkumi aspek perlindungan sosial yang kukuh.

Tiga pendekatan akan digunakan bagi menjayakan hasrat itu iaitu:

  • Menyediakan sokongan bagi membina keupayaan dan meningkatkan potensi menjana pendapatan melalui pendidikan dan keusahawan;

  • Menangani keperluan taraf hidup semasa dengan meningkatkan akses kepada kemudahan asas; serta

  • Melaksanakan program khusus untuk kumpulan sasar yang mempunyai keperluan tertentu.

  • Usaha membantu kumpulan itu akan memberi tumpuan kepada empat program iaitu meningkatkan potensi menjana pendapatan; membantu kanak-kanak untuk mempertingkat pencapaian pendidikan dan kemahiran serta memperkukuh jaringan keselamatan dan sosial untuk membantu kumpulan yang kurang mendapat manfaat daripada pembangunan sosioekonomi.

  • Selain itu, menangani keperluan kumpulan sasar khusus melalui pelaksanaan program bersepadu untuk masyarakat Bumiputera di Sabah dan Sarawak, terutama etnik minoriti serta masyarakat Orang Asli di Semenanjung, penduduk di kampung baru Cina dan pekerja ladang yang sebahagian besar berketurunan India.

  • Bagi peningkatan mobiliti ekonomi, kerajaan menyediakan peluang meningkatkan kemahiran dalam bidang yang relevan kepada industri serta mewujudkan hab pekerjaan untuk memadankan keperluan tenaga kerja oleh majikan di kluster dan bandar dengan calon yang bersesuaian dari kawasan luar bandar.

  • Kerajaan juga akan menyediakan lebih peluang bagi program sangkutan industri dan pekerjaan di syarikat yang menerima kontrak utama, konsesi dan insentif kerajaan serta memberikan lebih sokongan kepada usahawan yang akan memulakan perniagaan melalui penyediaan latihan, pembiayaan dan peralatan utama secara bersepadu.

  • Bagi perlindungan sosial kukuh, kerajaan menyediakan lebih akses kepada program bantuan pendapatan bagi kumpulan layak, lebih peluang memiliki rumah pada kadar subsidi dan lebih akses kepada kemudahan penjagaan kesihatan serta bekalan air dirawat dan elektrik selain kemudahan pengangkutan.

  • 0 comments:

    Post a Comment

    Powered by Blogger.