Oleh MOHAMMAD DZULHISHAM CHE HASSIM 
 utusanmelaka@utusan.com.my
ALOR GAJAH 29 Jan. - Tiada yang lebih menggembirakan bagi sembilan 
keluarga Orang Asli di Kampung Bukit Payung, di sini apabila rumah usang
 yang didiami mereka sebelum ini berubah wajah dan menjadi lebih selesa 
dalam tempoh yang singkat iaitu 104 hari sahaja melalui Program Bantuan 
Rumah (PBR).
Orang Asli dari suku kaum Temuan ini juga bukan sahaja dapat menikmati 
rumah tiga bilik, malah turut dilengkapi dengan bekalan elektrik dan 
air.
 Seorang penduduk, Tipah Bata, 39, berterima kasih kepada kerajaan, 
khususnya Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan Jabatan 
Kemajuan Orang Asli (JAKOA) serta pelaksana projek berkenaan iaitu 
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kerana memberi perhatian terhadap 
kebajikan Orang Asli.
"Terima kasih banyak-banyak kepada agensi terlibat terutamanya kepada 
ATM yang bertungkus-lumus membina rumah saya ini, besar, selesa dan 
lengkap dengan kemudahan asas," katanya kepada Utusan Malaysia ketika 
ditemui selepas majlis penyerahan kunci rumah PBR di Kampung Bukit 
Payung, Taboh Naning, di sini, semalam.
Bujen Sulak, 71, pula menganggap pemberian rumah PBR ini menunjukkan 
keprihatinan kerajaan terhadap masyarakat Orang Asli dan juga 
membuktikan bahawa mereka juga mempunyai hak untuk menikmati kesenangan 
dan kemudahan seperti kaum-kaum lain.
"Ini menunjukkan masyarakat Orang Asli tidak pernah disisihkan dan 
kerajaan sentiasa memberikan perhatian terhadap kebajikan Orang Asli 
terutamanya dari segi kualiti hidup, pendidikan dan kesihatan," katanya.
Sementara itu, Chaching Sulak, 61, berkata, dengan adanya rumah PBR itu,
 dapat memberikan keselesaan kepada anak-anak untuk belajar dan 
mengulangkaji pelajaran.
"Saya begitu terharu apabila dipilih sebagai salah seorang penerima 
rumah PBR dan lepas ini anak-anak dapat belajar dengan sempurna dan 
kehidupan kami sekeluarga juga bertambah selesa," katanya.
Sumber : Utusan Malaysia Online
Tarikh : 29 Januari 2012
Tarikh : 29 Januari 2012




0 comments:
Post a Comment