PAGE-PAGE YANG ADA DI BLOK AKU SALINA :

Monday, February 14, 2011

SEJARAH PENUBUHAN SK BUKIT SEROK

Sekolah ini telah dibina pada tahun 1964. Nama sekolah ini ialah Sekolah Kebangsaan Bukit Serok bersempena dengan nama kampung ini. Pada ketika itu, sekolah ini diletakkan dibawah pentadbiran Jabatan Hal Ehwal Orang Asli ( JHEOA ). Sebelum sekolah ini dibina, murid – murid sekolah ini bersekolah di Kampung Bukit Serok Lama.

Pada peringkat awal, sekolah ini merupakan sebuah sekolah pondok. Ia telah dibina dengan menggunakan dinding kulit kayu dan beratapkan daun nipah. Semasa murid – murid tahun pertama memulakan persekolahan, sekolah ini masih lagi dalam pembinaan. Peralatan asas tidak mencukupi dan tidak lengkap sepenuhnya. Ketika itu, murid – murid hanya duduk di atas bangku kayu yang dibuat oleh penduduk kampung.

Sekolah ini mempunyai enam bilik darjah tanpa sekatan dinding. Pada peringkat awal, cuma terdapat seorang tenaga pengajar iaitu Cikgu Yusof Abdullah. Kemudian beliau telah dibantu oleh dua orang tenaga pengajar yang juga orang tempatan iaitu Cikgu Chupak ( kini Batin Chupak ) dan Cikgu Lolam.

Selepas Cikgu Yusof meletakkan jawatan pada tahun 1968, sekolah ini telah menerima dua orang tenaga pengajar dari JHEOA. Dalam tahun tersebut juga sekolah ini telah mendapat bangunan baru yang diperbuat daripada papan. Sekolah ini telah dibina oleh JHEOA. Pihak jabatan juga membina sebuah bangunan asrama, dewan makan dan dapur. Asrama ini dibina bertujuan untuk menampung murid – murid miskin dan yang tinggal jauh dari sekolah.

Pada tahun 1971, Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengambil alih sebahagian daripada pengurusan sekolah dari JHEOA. Sekolah ini sekali lagi mendapat bangunan baru pada tahun 1989, termasuk sebuah asrama ( Asrama Desa ), dewan makan dan dapur. Selepas itu, pada tahun 1990, sekolah ini diserahkan sepenuhnya kepada Kementerian Pendidikan Malaysia. Pada tahun 1993, sekolah ini mendapat bangunan dua tingkat pula. Ia mengandungi enam buah bilik darjah dan mula digunakan pada tahun 1995. Pada bulan September 1998, penantian pihak sekolah untuk mendapatkan sebuah kantin akhirnya tercapai jua. Walaubagaimanapun saiz kantin yang ada sekarang kurang selesa dan tidak dapat menampung bilangan murid yang ramai.

Bulan Januari 2002, sekolah telah mendapat dua blok bangunan tambahan dan juga bangunan asrama yang boleh menampung 100 orang penghuni. Bangunan ini telah mula digunakan sepenuhnya pada tahun 2004.

0 comments:

Post a Comment

Powered by Blogger.