PAGE-PAGE YANG ADA DI BLOK AKU SALINA :

Monday, January 11, 2010

Pelbagai Bantuan Jamin Pendidikan



Tahukah Anda??? Pelbagai Bantuan Jamin Pendidikan

Menyedari kepentingan pendidikan untuk mengubah kehidupan satu-satu bangsa, Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) tidak ketinggalan menyumbang dan menabur khidmat bagi membolehkan masyarakat Orang Asli terutama kanak-kanak dan generasi muda mendapat pendidikan secukupnya.

Bermula dari peringkat bawah, konsep persekolahan K9 yang juga projek perintis Kementerian Pelajaran bermatlamat mengurangkan kadar keciciran dari Tahun Enam hingga Tingkatan Satu dan mengekalkan bilangan pelajar 3/5, mengurangkan kadar ketidakhadiran ke sekolah hingga ke sifar, menjadi model pusat kecemerlangan pendidikan Orang Asli dan mewujudkan kelas integrasi pendidikan.

Sekolah Kebangsaan Bandar Dua Paloh Hilai, Pekan, Pahang adalah sekolah tunggal bagi projek K9 dengan 269 pelajar peringkat pra dan rendah. Dari jumlah ini, murid Orang Asli seramai 112 orang. Di peringkat sekolah menengah pula, 152 daripada 339 pelajar adalah pelajar Orang Asli.

Dalam perkembangan sama, status pendidikan pelajar Orang Asli di peringkat rendah amat memberangsangkan dengan hanya kurang dua peratus kadar keciciran pada 2008 berbanding 4.66 peratus pada tahun sebelum itu.

Bagaimanapun, keciciran di peringkat sekolah menengah amat membimbangkan iaitu 47.41 peratus berbanding 36.7 peratus pada 2007.

Justeru, untuk mengatasi peningkatan kadar keciciran pelajar Orang Asli di peringkat sekolah menengah, JHEOA menyediakan peruntukan khas sebanyak RM1.9 juta bagi kegunaan wang saku pelajar sekolah menengah yang hadir ke sekolah. Wang saku itu dibayar sebanyak RM2 kepada seorang pelajar sehari sepanjang 220 hari persekolahan mengikut kehadiran mereka.

Di samping itu, sebanyak RM15 juta dibelanjakan menerusi Skim Bantuan Galakan Pendidikan JHEOA untuk menyediakan bantuan bagi murid di sekolah rendah dan menengah seperti pengangkutan, yuran sekolah, kursus motivasi dan keperluan diri di asrama.

Selain itu, Kementerian Pelajaran turut menyalurkan bantuan menerusi bantuan amanah pelajar.

Bantuan ini termasuk bantuan persekolahan RM200 bagi pakaian seragam, yuran persekolahan, peralatan sekolah dan sebagainya. Selain itu, RM50 bagi bantuan am diberi setiap bulan selama 10 bulan dan diagihkan sebanyak dua kali setahun.

Peningkatan kesedaran mengenai pendidikan di kalangan masyarakat Orang Asli bukan hanya di peringkat bawah saja, malah di di peringkat pengajian tinggi dengan 318 pelajar Orang Asli berjaya menamatkan pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) antara tahun 2004 hingga 2009.

Skim bantuan galakan pendidikan JHEOA juga diperluaskan kepada pelajar di peringkat IPTA. Keistimewaan pelajar Orang Asli yang menuntut di IPTA ialah mendapat biasiswa secara automatik, bagaimanapun jabatan hanya memberikannya kepada pelajar Orang Asli yang menuntut di institusi pengajian tinggi awam dalam negara saja.

Mulai April lalu, JHEOA turut menaikkan kadar biasiswa pelajar Orang Asli di peringkat IPTA sebanyak 30 peratus. Sejumlah RM2.5 juta diperuntukkan bagi membiayai pengajian pelajar Orang Asli di IPTA pada tahun ini berbanding RM1.3 juta pada tahun lalu.

29/12/2009

0 comments:

Post a Comment

Powered by Blogger.