PAGE-PAGE YANG ADA DI BLOK AKU SALINA :

Thursday, September 10, 2009

Orang Asli Perlu buat Perubahan Untuk Maju


Orang Asli perlu bersedia melakukan perubahan jika mahu melihat diri mereka berjaya, maju dan setanding dengan kaum lain di negara ini.


Mereka perlu mengubah tanggapan dalam banyak perkara atau isu yang boleh membawa kemajuan kepada mereka, terutama berkaitan pelajaran anak masing-masing.


Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata masyarakat Orang Asli menikmati pelbagai peluang untuk memajukan diri seperti dikecapi orang lain, tetapi perlu bersedia melakukan perubahan mencapai matlamat diharapkan. "Antara perkara utama perlu mereka beri perhatian bagi mencapai matlamat itu ialah memberi dan memastikan anak mereka mendapat pendidikan terbaik," katanya.


Mohd Shafie berkata, ramai anak Orang Asli kini berjaya menjawat jawatan penting dalam pelbagai sektor kerajaan atau swasta hasil usaha gigih mereka mendapatkan pendidikan sempurna.


Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan ke Perkampungan Orang Asli di Kampung Teluk, Minyak Beku dan Tapak Projek Bencana Alam Sungai Banang, di sini, kelmarin.


Mengenai projek di Sungai Banang itu, katanya, sebanyak 100 rumah bagi penempatan semula Orang Asli Kampung Teluk dijangka dapat disiapkan akhir tahun depan.


Katanya, langkah membina penempatan baru bagi penduduk kampung berkenaan adalah antara usaha diambil kerajaan menyediakan tempat tinggal lebih selesa bagi penduduk terbabit.


"Projek perumahan di Sungai Banang itu, dibangunkan di kawasan paya nipah seluas 14 hektar yang ditebus guna untuk dijadikan kawasan penempatan baru 435 penduduk Kampung Telok.


"Setakat ini, hampir satu hektar kawasan berkenaan sudah ditambak dan keluasan kawasan itu dijangka bertambah secara berperingkat sebelum disusuli kerja pembinaan kediaman tiga bilik," katanya. Katanya, projek pembinaan penempatan baru membabitkan peruntukan RM10 juta itu dijangka siap dalam tempoh dua tahun.


Beliau berkata, jumlah peruntukan diterima daripada kerajaan negeri setakat ini adalah RM3 juta dan berharap Jabatan Hal Ehwal Orang Asli dapat mencari peruntukan tambahan RM7 juta, bagi memastikan pembinaan rumah itu ddisiapkan mengikut jadual.


0 comments:

Post a Comment

Powered by Blogger.