Berita- Utusan Malaysia
GERIK - Sering kali tanggapan masyarakat terhadap Orang Asli ialah golongan ini kurang menitikberatkan soal-soal kebersihan.
Namun, tanggapan itu akan meleset apabila mereka melawat rancangan penempatan semula (RPS) Air Banun Kampung Semelor di sini.
Sesiapa yang berkunjung ke kampung itu pasti terpegun melihat kebersihan dan kehijauan rumput yang ditanam di sekeliling rumah.
Melihat 'kesempurnaan' tersebut, maka tidak hairanlah RPS Air Banun Kampung Semelor pernah menjadi juara contoh kampung paling bersih di Perak selama dua tahun berturut-turut iaitu pada 2005 dan 2006.
Ketua Kampung Semelor, Samat Jerangon, 50, ketika ditemui berkata, nasihatnya kepada 28 keluarga yang menghuni kampung tersebut selama ini tentang pentingnya menjaga kebersihan akhirnya membuahkan hasil.
"Menjaga kebersihan penting bukan sahaja untuk tambah keindahan kampung tetapi tujuannya bagi mengelakkan penduduk daripada terkena pelbagai jenis penyakit," katanya di sini, baru-baru ini.
Kata Samat, dia amat bersyukur kerana penduduk kampung itu memberikan kerjasama penuh dan sudi mendengar nasihat yang diberikan.
"Melalui kebersihan juga mendidik seseorang lebih berdisiplin," katanya sambil tersenyum bangga dengan pencapaian kampung tersebut.
Menurut Samat, hakikatnya, dia tidak pernah terfikir untuk bertanding mahu pun memenangi sebarang hadiah pertandingan kampung terbersih yang diadakan setiap tahun di Perak.
"Saya sebenarnya memegang prinsip mencegah lebih baik daripada mengubati dan tidak pernah terfikir untuk menunjuk-nunjuk bahawa kampung saya ini bersih, apatah lagi untuk bertanding.
"Tujuan saya supaya dapat menghindarkan penduduk kampung daripada terkena penyakit memandangkan hospital yang ada terletak begitu jauh malah memakan masa berjam-jam lamanya untuk sampai ke sana," kata beliau.
Tentang rancangan pada masa akan datang, kata Samat, dia bercadang untuk menggalakkan penduduk kampung tersebut menanam pelbagai jenis pokok bunga selain pokok herba di halaman rumah masing-masing.
"Saya harap impian saya ini akan menjadi kenyataan satu hari nanti," katanya.
Dalam pada itu, seorang penduduk kampung, Bayan Ahmad, 21, memberitahu, sejak diminta bergotong-royong menjaga kebersihan, dia mendapati gejala penyakit seperti malaria, taun dan sebagainya berjaya dikurangkan.
Seorang lagi penduduk, Badul Beklek, 25, pula menjelaskan, sikap ketua kampung yang tegas dalam mengamalkan kebersihan wajar dipuji kerana ia memberikan kesan yang baik.
0 comments:
Post a Comment